Friday, May 29, 2009

KEM PEMANTAPAN SAHSIAH KRK DAN KAWALAN

Pada 8 hingga 9 Mei 2009 yang lalu, Jawatankuasa Kelas Rancangan Khas dan Kawalan SMK Taman Mutiara Rini dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Kem Pemantapan Sahsiah bagi pelajar-pelajar tingkatan tiga Kelas Rancangan Khas Dan Kawalan. Program yang berlangsung selama dua hari satu malam ini dikhususkan kepada pelajar-pelajar beragama Islam.

Matlamat program ini adalah untuk memberi kesedaran rohani bagi memantapkan akhlak dan sahsiah pera pelajar ringkatan tiga bukan sahaja bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun ini, bahkan untuk membimbing mereka membina jatidiri yang kukuh dalam mendepani arus perubahan dalam kalangan remaja pada masa kini.

Program ini bermula dengan sesi pendaftaran pelajar dan minum petang pada pukul 4.00 petang bertempat di surau sekolah. Bilangan pelajar yang mendaftar adalah memuaskan iaitu sebanyak 52 daripada jumlah sebenar 56 orang. Walaupun mereka terpaksa bermalam di sekolah dengan hanya beralaskan tikar, perkara ini tidak melunturkan semangat mereka untuk hadir menimba ilmu dan pengalaman bagi memantapkan diri.

Sebelah malamnya, para pelajar diberikan ceramah motivasi oleh Dr. Ismail bin Musytari yang merupakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Islam dan Pengajian Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Beliau menyampaikan ceramah yang berkisar tentang persoalan halatuju remaja hari ini. Dalam slot ini, penceramah banyak memaparkan tayangan video yang menunujukkan aksi negatif para remaja di luar sana yang mudah terjebak dengan pengaruh-pengaruh kurang sihat. Beliau juga menekankan tentang matlamat sebenar hidup seseorang manusia untuk membangunkan diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Ternyata persoalan-persoalan ini dapat membangkitkan semangat pelajar dalam menepis anasir-anasir luar yang boleh menruntuhkan jatidiri remaja.

Selepas minum malam, para pelajar dibenarkan tidur awal bagi bersiap sedia dengan slot qiamullail pada pukul 4.30 pagi. Sesi ini dipimpin oleh Ustaz Mohd. Shafie bin Ali. Sesudah solat Subuh berjemaah, para pelajar diberikan kuliah Subuh. Pada pukul 8.00 pagi, para pelajar dibenarkan pulang selepas bersarapan.




No comments: